Friday, August 2, 2013

80 : Raya! Kemenangan dan kesedihan:)


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركته

kembali menaip,
Alhamdulillah,diberi peluang untuk menaip dan menulis lagi =='


Raya,
 Sepatutnya hariraya menjadi hari gembira untuk umat Islam bukannya hari dukacita dan kesedihan seperti yang selalu digambarkan oleh drama atau filem melayu.


Ya, Islam apabila hadir ke dalam sesuatu kaum atau masyarakat, ia tidak menghapuskan budaya atau adat yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, atau mengubah rupa asli agama yang tulus dan suci ini. Islam tidak membuang jubah orang Arab, atau kurta orang India, atau sampin orang Melayu. Namun Islam memberikan garis panduan dan prinsip umum dalam berpakaian.
Hendaklah juga kita fahami bahawa Islam amat sensitif jika ada amalan sesuatu bangsa atau kaum itu mempunyai iktikad tertentu yang membabitkan prinsip-prinsip akidah di dalam Islam. Ini seperti kepercayaan orang melayu dahulu bahawa bala boleh ditolak dengan upacara beras kunyit, atau tepung tawar atau apa sahaja yang mempunyai unsur yang sedemikian rupa. Ini kerana ia menyentuh soal pokok dan prinsip dalam akidah Islam.
Islam tidak membantah untuk orang melayu menggoreng ikan menggunakan kunyit, atau memasak dengan berempah kunyit. Demikian juga untuk mereka membuat tepung talam atau tepung bungkus atau ‘tepung pelita’. Namun, apabila mereka membuat nasi kunyit, atau beras kunyit atau tepung tawar yang disertai dengan sesuatu kepercayaan khusus yang tidak benar, maka ia bercanggah dengan prinsip Islam iaitu persoalan khurafat dan syirik, maka ia dilarang oleh nas-nas Islam.
Masyarakat Melayu.
Nas-nas Islam tidak pernah menyebut hari raya hari bermaafan, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah menyegerakan pemohonan maaf tanpa menunggu hari raya atau hari tertentu. Demikian juga jika maaf-maafan pada hariraya itu ia membawa suasana ‘airmata dan sedih’ maka itu di luar dari tujuan hariraya.
Satu lagi perkara yang disangkakan oleh sesetengah masyarakat sebagai amalan hariraya iaitu bertafakur atau menziarahi kubur dengan taburan bunga dan siraman air. Sesetengah orang suasana hari rayanya bertukar menjadi suasana suram dan tidak ceria selepas solat kerana pergi bersedih dan mengenangkan orang yang mati pada hariraya.
Jika sekadar lalu di kawasan kubur sambil berdoa tidak mengapa. Tetapi melakukan ziarah khas pada hari raya bersama dengan perasaan sedih dan pilu bukan amalan Nabi s.a.w dan menyanggahi tujuan hariraya dalam Islam. Di samping amalan menabur bunga dan menyiram air, bukanlah kenali di zaman salafussoleh sebagai amalan yang dipraktikkan.
Apapun, sempena hari raya kita hendaklah zahirkan kebesaran Allah dan kekuatan umat Islam sebagai umat yang memimpin alam dengan kebaikan dan hidayah. Gema takbir bukan untuk mengundang kesedihan tanpa sebab. Sebaliknya agar jiwa dipenuhi dengan kebesaran Allah, kecintaan kepada perpaduan dan kebahagiaan umat ini. Ia memberikan semangat kepada kita untuk terus sebagai umat yang berdaulat dan mampu melaungkan kebesaran kerajaan Allah yang menguasai langit dan bumi.
Airmata jika pun ada pada hariraya adalah airmata mengenang kebesaran Allah dan perasaan cinta yang mendalam kepada umat ini. Khutbah hari raya adalah khutbah yang penuh semangat dan makna, bukan khutbah yang ‘menidurkan’ makmum pada pagi hari dan penuh kemandulan serta tidak membangunkan jiwa jihad dan pengorbanan. Imam atau khatib hendaklah sedar akan hakikat ini. Selamat hariraya! selamat membina kekuatan umat dan kecintaan kepada setiap saudara muslim kita. Allahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd.-DR MAZA-



Jazakallahu Khairan Khatira:)

No comments:

Post a Comment