Tuesday, August 13, 2013

81 : Bila yang terang dibiar,yang tersembunyi dicari :)


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركته

- 'Hidup ini kalau hanya untuk bernafas,kemudian mati,alangkah sia-sianya..'

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata:
“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”
Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:
“Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.
Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya)
“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114).
Maka ada seorang bertanya:
“Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?
Jawab Nabi saw:
“Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.
Demikianlah hadis ini menggambarkan Nabi SAW tidak mendedahkan keaiban orang lain selagi keburukan itu tidak dilakukan secara terang-terang. Juga, amalan soleh seperti solat boleh menghapuskan keburukan yang dilakukan. Ya, Islam memang mengharamkan zina dan maksiat seks. Namun, Islam juga mengharamkan mendedahkan aib orang lain yang bersifat peribadi dan tidak mengancam keselamatan awam dan empunya berusaha menutupinya.
Sesetengah media, memang suka berita sensasi tentang maruah ‘orang lain’ untuk dilelong. Namun Islam menentang cara yang demikian. Maksiat yang dibanteras secara keras oleh Islam adalah maksiat yang berlaku secara terbuka kerana ia menggalakkan aktiviti mungkar dan mencemarkan iklim masyarakat Muslim. Adapun maksiat berlaku secara sembunyi dan hanya membabitkan soal peribadi insan, bukan keselamatan awam, maka ia tidak didedahkan.
Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din. telah menyebut mengenai rukun-rukun pelaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud pelaksanaan al-Amr bi al-Ma‘ruf (menyuruh kepada kebaikan) apabila jelas ia ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemungkaran) apabila jelas ia dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta‘ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah Taala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (Maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam manamana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
 Amatlah dukacita jika penguat kuasa agama ada masa yang cukup untuk pergi mengintip, memecah pintu milik peribadi orang lain bagi memastikan maksiat wujud ataupun tidak, namun dalam masa yang sama tiada masa untuk menghenti suami yang zalim memukul isteri yang sudah berulang kali membuat aduan, tidak cukup masa untuk menyelesaikan kes-kes kezaliman rumah tangga dan seumpamanya.

Aduhai dukacita, jika mereka bersemangat sampai sanggup tunggu pukul 2, 3 pagi untuk mengintip pasangan berkhalwat tetapi tiada cukup tenaga untuk membantah majalah-majalah yang terang-terang siang dan malam dijual yang mempamerkan aksi-aksi panas pasangan yang tidak berkahwin. Kita cari yang tersembunyi, kita biarkan yang nyata.
 Telah berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H):
“Oleh kerana ini menjadi batasan setiap amalan soleh, maka penyuruh kepada makruf dan pencegah daripada munkar itu sendiri wajib memenuhi tuntutan tersebut. Justeru tidak menjadi amalan soleh jika tidak dengan ilmu dan fiqh. Ini seperti kata ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz: Sesiapa yang mengabdikan diri kepada Allah tanpa ilmu, maka apa yang dia rosakkan lebih banyak daripada apa yang dia baik… Ini suatu yang jelas. Sesungguhnya tujuan dan amalan jika tidak dengan ilmu maka ia adalah kejahilan, kesesatan dan mengikut hawa nafsu -seperti yang dijelaskan sebelum ini-. Inilah perbezaan antara golongan jahiliah dan golongan Islam. Pelaksana Al-Amr bi al- Ma‘ruf Dan al-Nahy ‘An al-Munkar mestilah mempunyai ilmu mengenai makruf dan munkar, serta membezakan keduanya. Mestilah juga memiliki ilmu mengenai keadaan orang yang disuruh atau dicegah tersebut”. (rujukan: Ibn Taimiyyah, Majmu‘at al-Fatawa, 14/344-345, Riyadh: Maktabah al-‘Abikan). 
“I know you are there Allah. I know you see my tears. I know you hear my prayers. I know you are testing me. And all I ask from you is to strengthen my Imaan so I can handle the struggles in life and have patience. I love you my Lord. My Allah. Please keep me safe.” Ameen.


Jazakallahu Khairan Khatira:)

No comments:

Post a Comment