Tuesday, August 18, 2015

91 : Jika perjalanan ini dihayati...



بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركته

Suasana sekitar bandaraya ibu kota Kuala Lumpur sering dibanjiri dan menjadi tarikan utama oleh ribuan umat manusia khususnya yang tinggal di sekitarnya untuk mencari rezeki dan keperluan diri. Kelihatan perbagai jenis bangsa, warna kulit dan kaum melewati serta memenuhi apa sahaja yang menjadi tarikan insani. Keperluan diri dan urusan dunia perlulah difahami agar diri tidak menjadi rugi.Sekiranya kita berjalan dan mencari erti insan di tengah kota kesibukan, kita akan dapati pelbagai jenis ragam manusia yang mempunyai bakat yang tersendiri dalam urusan duniawi tanpa mengharapkan keredhaan ilahi.

Al Quran telah menjelaskan hal ini yang bermaksud :


“Dan sesungguhnya inilah umat kamu, umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu. Kemudian mereka itu berpecah-belah dalam urusan mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap puak berbangga dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatannya itu hingga ke suatu masa”. (Surah al-Mukminun, ayat 52-54)."

Kadang-kala dalam kejenuhan hidup di dunia yang fana ini, kita perlu sering diingatkan agar balik semula kepada asas diri dan insani.Semoga dengan itu, kita dapat menjernihkan kehidupan kita dari taufan badai kehidupan.Gagal mengingati asas menyebabkan kita hilang kompas dalam kembara hidup.Justeru, mari kita hayati dan keluar seketika dari kesibukan, ketamakan dan kerakusan dunia dengan kembali merenung kepada hakikat kehidupan.

Segelintir manusia, perbincangan tentang Hari Akhirat bagaikan 'kurang standard', namun mereka tetap tidak dapat menafikan bahawa hidup ini hanya sementara.Mereka tetap akan mati dan kehidupan dunia mereka akan berakhir tanpa diberitahu oleh sesiapa pun.

Sementara, kehidupan di sana yang lebih abadi dan hakiki sering kita lupai.Justeru , Nabi kita telah mengingatkan kita tentang kehidupan ini, sabda baginda :

“Aku di dunia ini hanyalah bagaikan seorang penunggang kenderaan yang berehat di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkannya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).


Demikianlah kita semua dan dunia ini. Malangnya, hakikat ini sering dilupai.Kita lupa tentang pemusafiran untuk menuju ke suatu destinasi yang kekal abadi.Hari dan waktu yang berlalu, saban detik adalah perjalanan kita yang mengheret ke sana, samada kita mahu ataupun tidak. Ya, kita pasti melalui.

Hidup ini menjadi resah dan gelisah apabila kita terlupa, atau tidak tahu ke manakah destinasi akhir yang kita patut tuju? sehingga dan berapa lamakah kehidupan ini perlu diterokai? Di manakah kompas perjalanan hidup? Ramai yang tahu apabila ditanya, namun ada yang sering terlupa apabila dibuai nafsu urusan dunia. Hakikatnya, inilah  manusia.

Kita yang sentiasa mengaku beriman ini pun sering terlupa tentang hakikat perjalanan hidup ini.Allah sering mengingatkan kita dalam surah at Takhathur : (maksudnya)

“Telah melalaikan kamu perbuatan berlumba-lumba untuk membanyak-banyakkan (harta benda, kuasa dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk)! Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin. Demi sesungguhnya! kamu akan melihat neraka yang marak menjulang. Selepas itu, demi sesungguhnya! – kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin. Selain itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari tentang tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!”. (ayat 1-8).

Ya, kita sering dilalaikan oleh dunia, harta, kuasa, masyarakat, teman , rakan dan berbagai lagi sehingga kita alpa untuk apa kita lakukan semua itu ? sebagai bekal dalam mengharungi perjalanan hidup? Atau sekadar berlumba untuk memperbanyak atau menguatkan kedudukan tanpa mengerti halal dan haram ? Atau apa ? Jawablah wahai sang hamba.

Tempat pulang kita adalah syurga yang dilimpahi segala kenikmatan. Sehingga Nabi Sallahu alahi wasallam telah menceritakan kepada kita akan keindahan syurga. Sabda Baginda : (maksudnya)

Allah berfirman: “Aku sediakan untuk hamba-hambaKu yang soleh itu apa yang mata tidak pernah melihatnya, telinga tidak pernah mendengarnya (kelunakan bunyiannya), dan tidak pernah terlintas (keindahan itu) dalam jantung hati manusia”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, kita patut pulang ke sana. Bukan tersalah langkah sehingga mengundang kita ke neraka.Pohon perlindungan daripada Allah daripada itu semua! Membaca kisah syurga daripada al Quran, as Sunnah serta athar-athar menjadikan jiwa kita rindu dan syahdu.Mendidik jiwa agar beriman dengan syurga dan neraka adalah ubat kepada kealpaan dan kelalaian terhadap dunia. Mengingati syurga umpama merawat luka yang terkena dalam perjalanan ini menjadi kecil dan sedikit. Mengingati neraka menjadikan penderitaan dan susah payah hidup itu menjadi senang dan ringan.

Syurga melupakan kita kepada segala derita dunia manakala neraka melupakan kita kepada segala nikmat dunia.apakah perbuatan kita boleh mancapai keredhaan tuhan serta menjamin kehidupan kita di syurga sana?

Itulah hakikat perjalanan kehidupan.
Sekian.

Muezza,
10:10 PM.





Jazakallahu Khairan Khatira:)

No comments:

Post a Comment